Apa itu kerajaan sementara? Jemaah menteri yang melaksanakan pentadbiran ketika Parlimen terbubar inilah yang sering disebut sebagai kerajaan sementara atau ‘caretaker government’. Ia merujuk kepada kerajaan yang mentadbir negara dalam keadaan ketiadaan Parlimen untuk satu masa tertentu sehinggalah kerajaan baru dibentuk. Dalam negara yang matang mengamalkan demokrasi berparlimen adalah menjadi amalan bagi kerajaan yang memerintah sebelum itu untuk terus menjadi kerajaan sementara.
Jadi apakah fungsi kerajaan sementara ini? Berikut adalah fungsi sebenar kerajaan sementara yang mungkin kita semua tidak ketahui ;
- Hanya menjalankan tugas-tugas asasi seperti menjaga keamanan dan menguatkuasakan undang-undang.
- Memantau perlaksanaan tugas harian jentera kerajaan sehingga tarikh pilihan raya (PRU).
- Tidak boleh mengemukakan dasar baru, membuat perlantikan jawatan penting dan perjanjian besar dengan pihak luar.
- Memisahkan antara entiti kerajaan dengan parti politik. Jentera kerajaan tidak boleh terlibat dalam kempen politik kepartian.
- Penjawat awam tidak boleh diarah menguruskan program yang boleh ditafsir untuk meraih sokongan politik.
- Premis milik kerajaan serta media kerajaan hanya boleh digunakan jika parti mendapat peluang sama rata.
- Pemimpin kerajaan di peringkat pusat mahupun negeri hanya boleh berkempen atas kapasiti parti bukan atas jawatan kerajaan.
- Program kerajaan perlu dikurangkan bagi mengelakkan salahguna jentera untuk mendapat sokongan politik.
- Prinsip ini atas logik bahawa sumber kerajaan adalah milik awam dan tidak boleh disalahguna oleh calon-calon pilihan raya.